MENU

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 5 OKT: Pusat Latihan Penguatkuasa Selangor (Pulapes) berjaya mengendalikan kursus latihan dalam membantu meningkatkan kemahiran ramai anggota penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, sejak 14 tahun lalu.

Komandannya, Muhamad Osman, berkata dengan modul lengkap serta tenaga kepakaran dimiliki, kursus latihan disediakan Pulapes mampu memenuhi keperluan anggota penguatkusa PBT di negeri itu.

“Pulapes mengadakan kursus latihan bermula pada 2003 dan telah memasuki tahun ke 14 di mana ia satu-satunya pusat latihan penguatkuasa yang terdapat di Malaysia.

“Pulapes telah membantu ramai anggota penguatkuasa PBT Selangor dan juga pihak lain yang memgikuti kursus latihan di sini,” katanya dalam Majlis Penutup Kursus Asas Penguatkuasa PBT Selangor di pusat itu, hari ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pengurusan), Dato’ Mazlan Md Noor dan turut dihadiri Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Zamani Ahmad Mansor serta Pengarah Pusat Latihan Awam Selangor, Dr Ahmad Sairi.

Seramai 39 pembantu penguatkuasa PBT dari seluruh Selangor mengikuti kursus latihan asas siri kedua dalam tempoh tiga bulan bermula Julai hingga September itu.

Muhamad berkata, Pulapes mengendalikan kursus latihan sebanyak dua kali setahun di mana kursus latihan siri pertama pada Mac hingga Mei disertai 60 peserta.

Katanya, pembantu penguatkuasa menamatkan latihan di pusat itu diharap dapat menjalankan tugas dan berkhidmat dengan baik apabila kembali ke PBT masing-masing.

“Dengan itu, mereka dapat meningkatkan imej PBT di mata masyarakat yang sentiasa menagih perkhidmatan berkualiti,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Selasa, 12 Disember 2017 - 9:13am