MENU

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 5 NOV: Selangor muncul negeri pertama menyediakan program khas pembangunan usahawan muda dalam kalangan masyarakat India dengan peruntukan RM4 juta bagi tempoh 2017 dan 2018.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Program Pembangunan Keusahawanan itu berjaya membantu kira-kira 450 usahawan baharu anak muda India, pada 2017 sebelum meningkat kepada lebih 1,000, pada 2018.

“Kerajaan Negerimemulakan langkah baharu dengan memberi peruntukan RM1 juta untuk memperkasakan usahawan baharu, pada 2017 dan menjadi negeri pertama yang mempunyai program khusus seperti ini.

“Dengan peruntukan RM3 juta pada 2018, suka saya melaporkan bahawa kita membantu lebih 1,000 usahawan baharu dalam kalangan masyarakat India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembah ucapan di hadapan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri, di Jalan Tengku Kelana, di sini, malam tadi.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan masyarakat India termasuk golongan muda mendapat faedah atas kemakmuran ekonomi negeri.

Katanya, selain menjadi negeri pertama membantu golongan muda yang berminat menceburi perniagaan, Kerajaan Negeri juga yang pertama memberi pengiktirafan kepada pemimpin masyarakat kaum itu.

“Bermula dengan 25 hingga 27 pengerusi dan ketua komuniti masyarakat India, jumlah itu kemudian meningkat kepada 48 atas kerana kita ingin memastikan setiap mereka mendapat perhatian serta pembelaan.

“Kita adalah negeri pertama di Malaysia yang bersedia memberikan elaun, sumbangan dan penghargaan kepada pemimpin masyarakat India,” katanya.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut mementingkan aspek pendidikan masyarakat terbabit apabila menambah peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) daripada RM1.5 juta, pada 2008 kepada lebih RM5 juta, pada 2018.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 19 September 2019 - 2:50pm