MENU

KLANG, 24 Jun : Sebuah kilang memproses plastik haram di sini yang masih beroperasi walaupun pernah disita lima kali oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) akhirnya ‘lumpuh’ apabila bekalan elektrik ke premis itu dipotong serta merta hari ini.

Kelulusan pemotongan bekalan elektrik itu adalah yang pertama kali diterima MPK daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) dan ia dilakukan dengan kerjasama sepasukan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pelabuhan Klang dalam satu operasi bersepadu ke atas kilang di Kawasan Perindustrian Air Hitam itu.

Tinjauan Bernama di dua bangunan kilang berkenaan mendapati kali terakhir ia disita pada Rabu lepas namun masih giat memproses secara haram pelbagai jenis beg plastik terpakai dipercayai diimport dari negara Jepun, Eropah dan China.

Bagaimanapun, dalam operasi bersepadu kira-kira pukul 9.30 pagi ini, pekerja kilang itu didapati telah melarikan diri.

Timbalan Pengarah Perlesenan MPK, Mohd Fahrulisa Mohd Isa berkata kilang berkenaan yang menggunakan nama ‘Opes Plastic Industry’ dipercayai beroperasi sejak empat tahun lepas dan ia satu daripada enam kilang plastik haram di kawasan sama yang masih berdegil dan terus beroperasi walaupun pernah disita serta diberi notis sebelum ini.

Lima lagi kilang plastik haram di kawasan sama setakat ini tidak lagi beroperasi selepas disita penguatkuasa MPK dalam beberapa serbuan sebelum ini namun masih di bawah pemantauan pihaknya.

“Kilang ini tidak pernah diberi lesen oleh MPK malah notis tunjuk sebab juga sudah dikeluarkan kepada pemilik premis ini. Kami juga menerima banyak aduan mengenainya daripada penduduk dan pengusaha kilang lain di sekitar kawasan ini kerana masih beroperasi.

“Namun pemilik premis tidak membuat sebarang tindakan susulan malah tidak memberi kerjasama (untuk hentikan operasi). Disebabkan itu, MPK terpaksa mengambil tindakan drastik untuk melaksanakan pemotongan bekalan elektrik bagi melumpuhkan terus operasi kilang berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu itu di sini, hari ini.

Mohd Fahrulisa berkata pemilik premis yang dipercayai warga tempatan itu juga telah diberi notis dan bakal berdepan tindakan mahkamah dalam masa terdekat.

MPK juga dalam usaha untuk menyita dan menutup terus 31 lagi kilang plastik haram yang dikesan masih beroperasi di daerah itu.

Beliau berkata, satu jawatankuasa yang diwujudkan sebelum ini akan terus memberi fokus kepada kilang-kilang haram berkenaan dengan memberi tumpuan utama kepada premis di Telok Gong, Pulau Indah dan Kawasan Perindustrian Air Hitam. -BERNAMA

Kemaskini Terakhir: Selasa, 19 November 2019 - 5:00pm