MENU


Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) menyerahkan pelitup muka dan bekalan makanan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superitendan Rahmat Arifin (kiri) di pusat kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Taman Sri Andalas, Klang pada 11 Oktober 2020. Foto Facebook Mohd Zawawi
 

SHAH ALAM, 12 OKT: Wakil rakyat Sungai Kandis menyumbang 300 pelitup muka dan pek makanan serta minuman kepada petugas hadapan di pusat kawalan Taman Sri Andalas, Klang semalam.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sumbangan itu bagi menghargai bakti dan menyuntik sokongan moral anggota yang bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya melihat petugas hadapan begitu bersemangat, jadi sumbangan ini sedikit sebanyak boleh digunakan sepanjang berada di pusat kawalan tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum itu, beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri meninjau situasi semasa PKPB dan bertemu petugas.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata semua 6,000 keluarga di Taman Sri Andalas yang terkesan dengan PKPB berada dalam keadaan aman serta terkawal.

“Penduduk masih menjalankan aktiviti harian seperti biasa, cuma pada waktu malam tidak ramai yang keluar dan berada di rumah masing-masing.

“Kita berharap supaya keadaan ini (Covid-19) akan segera pulih dan tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 14 hari,” kata beliau lagi.

Sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang dikenakan PKPB bermula 9 hingga 23 Oktober.

Kawasan terbabit adalah Bandar Bukit Tinggi, Kampung Johan Setia, Kampung Bukit Naga, Kampung Perigi Nenas, Kampung Kuantan, Kampung Serdang, Bandar Puteri, Kampung Sungai Kandis, Taman Sri Andalas, Lorong Sungai Udang serta Taman Suria.

Selain itu, Mutiara Bukit Raja, Bandar Klang, Pangsapuri Bukit Kuda, Ken Jimbaran, Pangsapuri Palm Garden, Taman Andalas Permai, Taman Desa Meru, Taman Seri Lembayung, Taman Gembira Kampung Delek Kiri, Taman Kim, Batu Belah Kampung Sungai Udang, Taman Klang Perdana, Taman Bayu Perdana, Taman Klang Utama.

Sumber : Selangor Kini
Sila klik pautan di sini