MENU

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 9 JUN: Penggunaan beg plastik di pasaraya dan premis perniagaan lain di Selangor mencatatkan pengurangan sehingga 50 peratus sejak Kempen Bebas Beg Plastik dan Polistirena bermula 1 Januari lalu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan pengurangan antara 60 hingga 70 peratus pada 2018 nanti.

“Ini pencapaian yang bagus tetapi Kerajaan Negeri akan menggiatkan lagi kempen ini untuk mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Kita juga mendapat persetujuan menjalankan kaji selidik tambahan bagi melihat kekangan, reaksi dan bagaimana kita boleh menambahbaik lagi kempen ini,” katanya.

elizabeth-wong

Elizabeth Wong berkata demikian pada program Pelancaran Kempen #BebasPlastik @ Bazar Ramadan Cyberyjaya Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) di Lingkaran Cyberpoint Barat, Cyberjaya di sini, semalam.

Jelasnya, kejayaan itu dicapai ekoran kerjasama semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kesedaran pengguna sendiri.

Katanya, Kempen Bazar Ramadan Mampan diadakan itu turut menjadi landasan terbaik mendidik kesedaran kepada pengguna tentang kepentingan memelihara alam sekitar.

“Pada Kempen Bazar Ramadan Mampan kita mendidik pengguna dan peniaga bazar supaya tidak membazir makanan, jangan buang minyak masak untuk kitar semula, jangan guna polistrin dan menggunakan beg sendiri,” katanya lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Dato’ Puasa Md Taib pula berkata, Majlis Perbandaran Sepang juga akan menempatkan pembekal beg kitar semula dengan harga yang murah di semua tapak pasar malam, pasar pagi untuk memudahkan orang ramai membeli beg kitar semula.

“Kadang-kadang mereka terlupa, jadi kita sediakan supaya mereka boleh beli. Kita harap amalan membawa beg plastik dan bekas makanan sendiri akan menjadi budaya masyarakat kita,” katanya.

 

Sumber: https://selangorkini.my/