MENU

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 15 MAC: Sebanyak 21 bahan industri ditemui dalam laporan awal kajian makmal yang dilakukan terhadap sampel pencemaran di lokasi pencemaran di Taman Eng Ann.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang, Dato’ Teng Chang Kim berkata, secara keseluruhan keadaan pencemaran di kawasan ini terkawal dan orang awam diminta untuk bertenang serta tidak menyebarkan maklumat palsu terutama menerusi laman sosial.
“Laporan awal daripada makmal mendapat 21 bahan kimia dikesan. Kita masih menunggu hasil keputusan penuh untuk menentukan bahan kimia dibuang dan bentuk tindakan yang sesuai.“Sejak semalam, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menggunakan oil bomm dan oil pad untuk menyerap serta menyekat sisa buangan.

“LUAS juga sudah menutup tali Kunci Air Bukit Kuda bagi mengelakkan sisa buangan masuk ke Sungai Klang.“Kerja-kerja pembersihan sudah dimulakan dan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh dua hari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Jalan Kasawari 2, Taman Eng Ann, Klang, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi pembuangan sisa industri di buang berasingan di dua lokasi iaitu kawasan takungan air banjir dan beberapa longkang di sekitar yang menghubungkan laluan air sepanjang 1.5 kilometer ke Sungai Klang.
Setakat ini, sisa industri yang terdapat di kolam takungan air banjir tidak mengalir ke longkang dan akan disedut sepenuhnya sebelum dilupuskan.

Pasukan Forensik polis juga tiba di kawasan kejadian bagi menyiasat kejadian dan mengambil sampel bahan kimia.Sebelum ini, Unit Bencana Negeri Selangor juga sudah digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu LUAS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan menggunakan langkah-langkah mengatasi bencana.

Chang Kim yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat pantas mengenai kejadian itu, semalam.

Dalam sidang media sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan JAS, Zuraini Ahmad Tajudin memaklumkan kes ini disiasat dibawah Seksyen 25 Akta Kualiti Air Alam Sekeliling 1974.Jika disabitkan kesalahan, individu atau syarikat terlibat boleh didenda RM100,000 atau penjara maksima lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Ketua Polis Balai Bandar Baru Klang, ASP Harun Abu Bakar dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya telah membuka dua kertas siasatan selepas menerima laporan polis dibuat LUAS, semalam.

 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 19 September 2019 - 2:50pm