MENU

KLANG, 16 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengenal pasti pencemaran bau yang berlaku di sekitar Taman Perepat Timur, Kapar di sini berpunca daripada sebuah kilang memproses plastik, kata timbalan yang dipertuanya.

Elya Marini Darmin berkata hasil pemeriksaan dijalankan di premis berkaitan mendapati penapis scrubber dari mesin memproses plastik rosak dan kilang terbabit dihentikan operasi serta merta.

“Kita menerima aduan dari penduduk berkaitan bau yang kurang enak. Oleh itu, MPK bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pemeriksaan dan mengenal pasti perkara itu.

“JAS menyarankan pengusaha kilang supaya membuat penyelenggaraan setiap 17 hari bagi memastikan insiden kerosakan tidak berulang,” katanya ketika ditemui di kilang berkenaan di sini semalam.

Elya berkata MPK akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa supaya kilang di daerah itu mematuhi syarat.

“MPK tidak sama sekali bertolak ansur dengan mana-mana pengusaha yang tidak patuh pada arahan,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan 70 kilang plastik haram ditutup sepanjang November tahun lalu hingga 15 Januari lepas dan kini pihaknya sedang membuat bancian bagi mengenal pasti jumlah sebenar kilang berkenaan di daerah ini.

“Terdapat lebih 500 kilang haram di Telok Gong dikenal pasti manakala kawasan lain masih di peringkat bancian,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 14 Februari 2020 - 10:14am