MENU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JAN: Keistimewaan yang terdapat di Klang perlu dipelihara termasuk mengekalkan keindahan dan penambahbaikan infrastruktur supaya ia mengekalkan indentitinya sebagai lokasi bersejarah untuk menarik kedatangan pelancong.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, perkara berkenaan menjadi misi utama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pada 2018 menerusi pembangunan di beberapa tempat antaranya Kompleks Sukan Pandaraman,Taman Rakyat dan Padang Chetty.

Katanya, pembangunan infra yang lebih berkualiti, di samping pemantauan aduan terutama jalan berlubang akan diperkemaskan menerusi gerak kerja oleh Skuad Pantas MPK.

“Dua elemen ini iaitu pengindahan bandar dan pembangunan infra termasuk menangani banjir menjadi teras utama kita dan ia dijalankan di sekitar bandar Klang serta beberapa kawasan perumahan sekitar Pelabuhan Klang.

“Kerja ini akan diperluaskan lagi dan saya berharap usaha dijalankan MPK mendapat sokongan masyarakat setempat supaya bersama merealisasikan visi kita bagi tahun ini,” katanya.

Yasid berkata, sebagai bandar yang menjadi tumpuan pelancong, Klang memerlukan daya tarikan supaya dapat mencerminkan imej positif di mata pengunjung.

Pada masa sama, beliau berkata, sejumlah 14 ‘padang cergas’ bakal digunakan warga Klang dengan MPK
akan memperhebatkan operasi penguat kuasaan kebersihan di taman perumahan, termasuk pokok yang menimbulkan kacau ganggu kepada komuniti setempat.