MENU

KLANG, 4 JAN: Kira-kira 1,500 pelajar dan pensyarah Management and Science University (MSU) menyertai program ‘Royal Klang Heritage Walk’ bagi menjejaki warisan Bandar DiRaja Klang di sini, hari ini.

Menerusi program itu, kumpulan dari Sekolah Hospitaliti dan Seni Kreatif universiti berkenaan akan berjalan kaki ke 11 tempat bersejarah di sekitar bandar antaranya ialah Bangunan Galeri Diraja, Gedung Raja Abdullah, Istana Alam Shah, Bangunan Chartered Bank, rumah ibadat seperti Gereja Our Lady of Lourdes, Kuil Sri Nagara Thendayuthapani dan bangunan warisan di sekitar Jalan Tengku Kelana.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Elya Marini Darmin berkata, program berkenaan merupakan satu produk pelancongan di Klang yang dikenali penggiat pelancongan dari dalam dan luar negara.

“Ia adalah aktiviti berjalan kaki yang diketuai pemandu pelancong terlatih, menyelusuri 11 perhentian terdiri daripada bangunan warisan yang masih kekal strukturnya dan mempunyai nilai sejarah menarik.

“Oleh itu, pembabitan pelajar dan pensyarah MSU dalam program ini dapat menerapkan kemahiran pelajar dari segi pembangunan diri, mengetengahkan kepentingan sejarah kepada generasi muda mengenai warisan serta tradisi Klang yang juga merupakan salah satu bandar tertua di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Royal Klang Town Heritage Walk’ bersama pelajar MSU di Stadium Sultan Suleiman di sini.

Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Majid serta Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin bersama peserta program Royal Klang Heritage Walk di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 4 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad dan Presiden MSU, Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Pada masa sama, Elya Marini berkata, penganjuran program seperti itu juga akan mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum.

“Ia di samping memelihara keamanan dan keharmonian negara serta menjalinkan hubungan dan persefahaman yang erat di antara pelbagai pihak,” katanya.

Program bimbingan itu merupakan aktiviti ‘Royal Klang Town Heritage Walk’ pertama diadakan pada tahun ini dan diketuai Pemandu Pelancong Hos Komuniti Selangor Daerah Klang.

Sementara itu, Azrul Shah berkata, pembabitan pelajar dan pensyarah MSU itu merupakan angka yang besar dan menjadi bukti ahli akademik serta pelajar mengambil berat akan faktor sejarah dalam kehidupan seharian.

“Secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada perkembangan kendiri dan berupaya melahirkan graduan berinformasi,” katanya.

Sumber: https://selangorkini.my/2020/01/pelajar-pensyarah-msu-jalan-kaki-jejaki-sejarah-klang/