MENU

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

PULAU PINANG, 7 NOV: Komitmen dan kerjasama anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor juga Pulau Pinang utuh bagi menjalankan operasi kebersihan, di sekitar negeri itu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd Sharif berkata, kesungguhan Kerajaan Selangor menghantar Skuad Pantas membabitkan gabungan 12 PBT amat dihargai.

Katanya, kerjasama itu menunjukkan PBT bersatu dalam menghadapi cabaran juga bencana yang tidak pernah dijangka.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor terutama Dato’ Menteri Besar kerana menghulurkan bantuan RM1 juta juga mengarahkan PBT untuk membantu operasi banjir, di Pulau Pinang.

“Memang inilah yang kami tunggu selepas Pulau Pinang dilanda banjir ekoran hujan lebat yang berterusan selama 15 jam, hujung minggu lalu,” katanya ketika ditemui SelangorKini, di sini, semalam.

Terdahulu, anggota PBT Selangor dan Pulau Pinang dibahagikan kepada dua bahagian bagi menjalankan operasi pembersihan kawasan juga penebangan pokok sekitar bandar raya juga daerah Seberang Prai.

Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, seramai 175 anggota dengan 47 aset digerakkan Kerajaan Negeri bagi menjayakan misi bantuan kemanusiaan banjir, di Pulau Pinang.

“Kami tiba sekitar jam 6 petang dan malam ini semua anggota memulakan operasi pembersihan dengan kerjasama MBPP juga Majlis Perbandaran Seberang Prai.

“Anggota kita mempunyai kepakaran pelbagai bidang dan terbabit dalam operasi banjir kilat, sekitar Selangor. Kami akan membantu dalam misi kemanusiaan banjir ini dan dijangka berada di Pulau Pinang, sehingga 10 November ini,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Isnin, 20 November 2017 - 2:24pm