MENU

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 31 OKT: Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan sentiasa bersiap siaga 24 jam memantau di sekitar lokasi berisiko banjir bagi menghadapi monsun timur laut sehingga Disember ini.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, skuad ini akan bertindak selaku ‘first-responden’ dalam menyampaikan segala maklumat dan laporan berkaitan bencana yag berlaku.

Katanya, berdasarkan tinjauan jangka panjang taburan hujan di negeri ini, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan purata hujan akan mencecah 210 hingga 320 milimeter (mm) pada Oktober, 250 hingga 370 mm (November) dan 200 hingga 300 mm (Disember).

“Dijangka juga pada 7 dan 8 November ini, ketinggian paras air pasang besar akan mencapai paras tertinggi iaitu 5.4 manakala 5.2 pada 24 Disember depan.

“Keadaan cuaca semasa ini akan mengakibatkan hujan lebat dan ribut petir serta angin kencang terutamanya waktu petang dan awal malam.

“Sehubungan itu, semua agensi diarahkan bersiap sedia menghadapi bencana berdasarkan arahan MKN 20 serta perkara seperti pemantauan berkala di kawasan berisiko tinggi dan memastikan sistem perparitan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan, di Dewan Raja Mahadi, di sini.

Mohamad Yasid berkata, Kampung Teluk Gong, Perigi Nenas (Pulau Indah), Bandar Puteri, Kampung Delek dan Persiaran Hamzah Alang merupakan kawasan berisiko banjir dan banjir kilat.

Katanya, MPK juga akan membuka lapan pusat pemindahan berhampiran kawasan berisiko antaranya Dewan Meru, Kampung Kuantan, Sentosa, Telok Pulai, Dewan Orang Ramai Telok Nipah, Kampung Delek, Sekolah Kebangsaan Telok Gong dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lee Min, Kampung Telok Gong.

“MPK juga mengarahkan semua jabatan bersiap sedia dari segi logistik serta tenaga kerja bagi menghadapi sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Ini termasuk pemantauan dan pembersihan saluran parit di seluruh kawasan bagi memastikan kelancaran saliran air supaya tidak tersumbat,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad Yasid menasihatkan penduduk daerah terbabit khususnya di kawasan berisiko banjir bersiap sedia menghadapi fenomena air pasang besar itu.

“Semua penduduk juga dinasihatkan mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa keselamatan dan mengambil langkah persediaan sewajarnya menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 20 September 2019 - 5:32pm