MENU

KLANG, 17 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerusi team Penubuhan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) memantau 24 jam di kawasan Johan Setia dan Pulau Indah bagi membendung aktiviti pembakaran terbuka di kawasan itu.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, dua unit pasukan itu bertugas 24 jam dan bersiap sedia jika ada sebarang kejadian tidak diingini.

“Pasukan ini akan bergerak ke lokasi kilang, perumahan dan kawasan pertanian.

“Kita dapati terdapat pengusaha tanaman yang masih degil membakar sampah kebun di Johan Setia pada sebelah malam.

“Individu tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan membakar sampah kebun yang kering,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program pelupusan barang-barang sitaan, di sini.

Mohamad Yasid berkata, individu tidak bertanggungjawab itu bagaimanapun tidak berjaya dikesan kerana menghilangkan diri selepas membuat pembakaran.

“MPK boleh mengambil tindakan kompaun tetapi mereka ini gagal dikesan kerana akan hilang selepas membakar.

“Kawasan juga luas dan sukar dikenal pasti namun, setakat ini kita masih dapat mengawal keadaan,” katanya.

Setakat jam 10 pagi tadi, laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bagi kawasan Johan Setia didapati meningkat daripada 222 pada 11 malam tadi kepada 235.

Sementara bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Klang pula semakin membimbangkan iaitu pada paras 196 menghampiri tahap udara sangat tidak sihat.

Kuala Selangor dan Banting mencatatkan bacaan 181, Shah Alam (173) dan Petaling Jaya (163), sekali gus mencatatkan kualiti udara tidak sihat.

Semalam Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memaklumkan sebanyak 145 sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup hari ini ekoran keadaan jerebu semakin serius.

 

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 13 Disember 2019 - 7:18pm