MENU


Orang ramai dilihat beratur ketika pemantauan yang dijalankan di beberapa lokasi pasar awam di daerah Klang.

KLANG - Sebuah premis yang menjual ayam proses di Kompleks Pasar Besar Jalan Meru diarahkan tutup serta-merta dan disita selepas didapati melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz berkata, selain melanggar masa beroperasi, premis itu juga tiada lesen sah.

Menurutnya, pemantauan yang dilakukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) Unit Ops Klang Utara mendapati premis itu beroperasi sebelum jam 8 pagi.

"Premis itu diarahkan tutup serta-merta dan disita di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974," katanya.

Norfiza Mahfiz berkata, pihaknya juga mendapati terdapat warga asing yang berniaga hasil laut di kompleks itu.

"Tindakan sitaan dijalankan ke atas mereka di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (MPK) 2007," katanya.

Beliau berkata, selain Kompleks Pasar Jalan Meru, pihaknya turut menjalankan pemantauan di Pasar Pelabuhan Klang, Pasar Kapar dan Pasar Pandamaran.

"Pemantauan yang dijalankan sebelum jam 8 ini turut dibantu pihak polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," katanya.

Sumber : Sinar Harian