MENU

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 3 JAN: Nenda saudara Sultan Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Aris Temenggong Selangor, Tengku Muhammad Yusuf Shah Alhaj selamat disemadikan di Makam Diraja Klang, di Masjid Diraja Sultan Suleiman, di sini.

Almarhum, 91 tahun mangkat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), pada jam 11.15 pagi tadi ekoran sakit tua.

Anakanda kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Ampuan Selangor, Tengku Ampuan Fatimah Almarhum Sultan Sir Idris Murshid Al-Azzam Rahmahtullah itu selamat disemadikan kira-kira jam 6.30 petang tadi.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli hadir memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum.

Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut hadir mencemar duli, Tengku Laksamana Selangor, Tengku Panglima Diraja Tengku Sulaiman Shah dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama isteri, Datin Seri Shamshida Taharin.

Almarhum yang diputerakan pada 28 April 1926, adalah salah seorang daripada 25 putera kepada DYMM Sultan Selangor kelima, Almarhum Sultan Sir Ala’eddin Sulaiman Shah.