MENU

KLANG, 15 JAN: Projek `Heritage Walk’ di sekitar bangunan Lintang Dato Hamzah yang dihiasi lukisan mural menjadi tarikan terbaharu untuk dikunjungi.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Elya Marini Darmin berkata, lukisan mural bertemakan safari mampu menarik minat keluarga, selain pelancong untuk datang ke kawasan terbabit.

“Lebih mendapat perhatian apabila gambar diambil pelancong diviralkan kepada umum.

“Projek yang hampir siap ini memperkenalkan konsep keluarga. Pengunjung boleh datang bersama anak-anak untuk menikmati keindahan sekitar bangunan ini,” katanya di lokasi mural bangunan `Heritage Walk’  di sini hari ini.

Elya berkata MPK akan melihat keberkesanan projek perintis ini dan mungkin boleh dikembangkan ke kawasan lain jika ada permintaan.

Lukisan mural menarik perhatian pengunjung di sepanjang laluan pejalan kaki di Laluan Warisan, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pelukis mural, Dhiyaul Mohamad Ashraf, 29, berkata, dia bersama 10 ahlinya mengambil masa hampir sebulan menyiapkan kesemua lukisan.

“Inisiatif seperti ini wajar diikuti pihak berkuasa tempatan lain untuk menghidupkan semula satu-satu kawasan selain mengiktiraf pelukis seperti kami,” katanya yang sudah melukis lebih 500 dinding secara solo.

Projek `Heritage Walk’ turut membabitkan pembinaan laluan penjalan kaki di sepanjang Jalan Stesen, Jalan Tengku Diauddun dan Jalan Dato’ Hamzah.

Kos mengindahkan `Heritage Walk’ termasuk pencahayaan di lorong belakang menelan belanja RM1.9 juta.