MENU

PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan memberikan masa tiga bulan kepada Syarikat KDEB Waste
Management Sdn Bhd (KDEB) untuk menyelesaikan masalah sampah menerusi perlaksanaan aplikasi iClean Selangor yang berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata pihaknya mempunyai kuasa untuk menamatkan kontrak perjanjian sekiranya syarikat tersebut gagal menguruskan pungutan sisa pepejal.

Katanya, sehingga kini beliau masih berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan KDEB yang dilantik kerajaan negeri Selangor walaupun baru sebulan memulakan operasi.

“Setakat ini saya tidak boleh membuat penilaian penuh memandangkan syarikat itu baru saja mengambil alih menguruskan pungutan sampah (di kawasan Klang).

“Dalam kontrak perjanjian kita bagi tiga bulan, setakat ini positif memandangkan kurangnya aduan daripada penduduk berhubung kelewatan syarikat terbabit melakukan pungutan (sisa pepejal),” katanya ketika dihubungi FMT.

Kerajaan negeri melantik syarikat itu untuk menguruskan pungutan sisa pepejal dengan menggunakan pendekatan aplikasi iClean Selangor.

Bagaimanapun, aplikasi yang dimuat turun menggunakan Android Play Store itu hanya boleh diguna pakai penduduk di kawasan Klang untuk membuat aduan secara terus melalui telefon pintar jika terdapat sampah yang tidak dikutip.

Pendekatan sama akan dilanjutkan ke kawasan lain secara berperingkat pada masa akan datang.
Yasid berkata MPK memperuntukkan RM25 juta setahun kepada KDEB untuk menguruskan pungutan sisa pepejal di kawasan Klang.“Bila KDEB mengambil alih (tugas pungutan sisa pepejal) ia dapat mengurangkan beban kerja majlis daerah kerana tidak perlu lagi mencari atau membuka tender kepada syarikat swasta menguruskan pungutan sampah.

“Sebaliknya KDEB yang menguruskan semua itu dan tugas majlis daerah hanya membayar mereka setiap tahun,” katanya.MPK

 

Kemaskini Terakhir: Isnin, 13 November 2017 - 4:21pm