MENU


EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (tengah) meninjau keadaan jalan raya yang mendap di Jalan Klang-Banting berhampiran lampu isyarat Kampung Johan Setia dipercayai akibat kerja menanam cerucuk bagi pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) pada 21 Julai 2020.
Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

KLANG, 21 JULAI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) meneliti semula kebenaran merancang bagi mengelak kejadian marabahaya serta merugikan penduduk.

Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin memaklumkan pihaknya akan mencuba sebaik mungkin menyusun perancangan di daerah tersebut.

“MPK sangat prihatin dengan komuniti kawasan. Lepas ini bila buat kelulusan kita akan lihat lebih lanjut dan nilai laporan lengkap. Ini babit pembinaan, kita kena telus,” katanya ketika ditemui di lokasi tanah mendap di Johan Setia.

Semalam, insiden tanah mendap berlaku kira-kira jam 3 petang ketika pekerja projek pembinaan Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) menanam cerucuk di kawasan tidak rata hingga menjejaskan laluan utama dari arah Klang ke Banting.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri meminta anggota MPK memantau laluan alternatif dilencongkan ke kawasan perumahan Kota Bayuemas serta Bandar Parkland.

“Penduduk mengadu ada kenderaan berat menggunakan laluan itu sedangkan ia hanya untuk kenderaan ringan. Ini mendatangkan risiko dan kita tidak mahu perkara buruk berlaku,” katanya.

Wakil rakyat Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni pula berharap masalah tanah mendap diatasi segera kerana ia menjejaskan bekalan air kira-kira 1,500 pengguna di kawasannya.

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini