MENU

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 26 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menawarkan ganjaran RM200 kepada pemberi maklumat pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab, di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, MPK serius dalam menangani isu terbabit dan kerjasama orang ramai diperlukan bagi mengatasinya.

“Sekiranya ada maklumat jelas berkaitan pembuangan sampah haram sehingga tertangkap pihak bertanggungjawab, maka kita akan bagi hadiah RM200 kepada mereka yang memberi maklumat,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, maklumat disalurkan kepada MPK harus lengkap dengan gambar dan lokasi kawasan berkaitan.

Katanya, usaha digerakkan sejak setahun lalu itu menunjukkan impak positif dengan tangkapan 89 lori.

“Daripada jumlah tangkapan itu, kita berjaya mengutip kompaun sekitar RM100,000 dengan anggaran setiap lori dikompaun antara RM1,300 hingga RM2,500.

“Kita membelanjakan hampir RM18,000 untuk bayaran sagu hati kepada pemberi maklumat,” katanya.

Beliau berkata, MPK yakin masalah pembuangan sampah haram, di kawasan pentadbiran MPK mampu diatasi ekoran tindakan itu.

Kemaskini Terakhir: Isnin, 13 November 2017 - 4:21pm