MENU

SHAH ALAM, 30 JUL : Sempena Hari Kebangsaan tidak lama lagi, Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan mengadakan kempen pengurangan kompaun letak kereta bermula 26 Ogos hingga 8 September 2019.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, ianya melibatkan tawaran Kompaun Letak Kereta dengan kadar serendah RM15 sehingga RM200 bagi kompaun yang melibatkan pelbagai kesalahan.

“Bagi memudahkan orang ramai membuat semakan kompaun, pihak kami akan menyediakan kaunter tambahan di lobi Ibu Pejabat dan pejabat cawangan MPK di Jalan Tengku Kelana.

“Manakala bayaran boleh dibuat di semua kaunter MPK bertempat di Ibu Pejabat, pejabat cawangan MPK Jalan Tengku Kelana, Pejabat Cawangan MPK Jalan Raya Barat, Kompleks Pasar Besar Jalan Meru, Perhentian Bas Pelabuhan Klang, Dewan Meru dan Pekan Kapar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MPK, semalam.

Walaubagaimanapun kompaun yang dikeluarkan di bawah Perenggan 51 kesalahan meletak di petak khas dan Orang Kurang Upaya tidak termasuk dalam kempen terbabit.

Selain itu, bayaran juga boleh dibuat di Mesin i-Kiosk (CDM) Pasaraya Giant Bukit Tinggi, Kaunter Van Bergerak MPK dan di pasaraya terpilih mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Untuk makluman, pembayaran kompaun secara online melalui JomPAY (Biller code: 84277) dan aplikasi Smart Parking MPKlang (Android dan Iphone) juga boleh dilakukan bagi memudahkan orang awam.