MENU

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 23 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) melaksanakan inisiatif menanam 166 pokok jenis ‘Eugenia’, di beberapa lokasi sekitar bandar itu bagi mengatasi masalah pelupusan sampah haram daripada berulang.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, langkah bijak itu dilaksanakan dengan kerjasama Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) bagi menunaikan tanggungjawab menghijaukan alam sekitar.

Katanya, program itu bertujuan membanteras pihak tidak bertanggungjawab daripada terus melonggok sampah secara haram di lokasi berkenaan.

“Mengikut data operasi, 154,296.25 tan sampah dibersihkan di sekitar Klang sehingga September dan 28,324.49 tan sampah haram (Januari September lalu) dibersihkan dengan sebahagian besarnya dari tapak pembuangan sampah haram.

“Saya berharap aktiviti ini akan menyemai budaya menjaga kebersihan dan pemeliharaan persekitaran hijau dalam kalangan warga Klang,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, masyarakat perlu berperanan sebagai warga lebih peka dan bertanggungjawab dengan menghubungi Pihak Berkuasa Tempatan itu apabila ternampak pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah secara haram.

Mohamad Yasid berkata, MPK menghargai komitmen ditunjukkan JKP dan ahli majlis yang banyak membantu dalam program penanaman pokok, di 21 lokasi di bandar itu.

“Daripada jumlah itu, 17 daripadanya berjaya ditutup dan beberapa langkah proaktif untuk mengurangkan masalah pembuangan sampah secara haram termasuk penguat kuasaan sentiasa diperhebat dari masa ke masa.

“Sebanyak 27 kenderaan juga disita sehingga September lalu dan 87, pada tahun lalu kerana kesalahan itu,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Isnin, 13 November 2017 - 4:21pm