MENU

 


Sze Han (tiga dari kanan) meninjau salah sebuah premis sewaktu operasi berkenaan.

KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita 11 premis perniagaan yang diusahakan warga asing menerusi Ops Terjah Bersama Exco yang dijalankan sekitar Lorong Kepayang, Klang Utara hari ini.

Operasi yang bermula sekitar jam 11 pagi itu dilaksanakan MPK bagi membanteras operasi perniagaan warga asing yang tidak mematuhi undang-undang di sekitar kawasan berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, 36 premis telah diperiksa oleh penguat kuasa MPK dan ada yang dikenalpasti telah disewakan oleh warga tempatan kepada warga asing bagi mengaut keuntungan dengan cara mudah.

"Selain itu, antara kesalahan lain yang dikenal pasti ialah memasarkan arak tanpa lesen dibenarkan.

"Siasatan akan diteruskan dan mereka akan dikenakan tindakan jika mereka melanggar syarat pelesenan," katanya pada sidang akhbar selepas operasi berkenaan hari ini.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata, buat masa ini kerajaan negeri sedang dalam proses meminda Undang-Undang Kecil (UUK) sedia ada bagi melarang warga asing menjadi penjaja atau pekerja melibatkan sebarang perniagaan.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap pihak harus membezakan status antara pelabur dan pekerja asing dalam menguatkuasakan perkara itu.

Dalam pada itu, Yang Dipertua (YDP) MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, pemilik lesen tempatan yang didapati menyewakan perniagaan mereka kepada warga asing akan dikenakan tindakan tegas.

Beliau berkata, pemilik lesen akan dipanggil dan tindakan pembatalan akan dikenakan ke atas pihak terlibat.

"Kita akan lebih agresif selepas ini dan saya percaya banyak lagi tindakan akan dikenakan kepada pesalah yang melanggar peraturan ditetapkan," katanya.

Sumber : Sinar Harian
Sila klik pautan di sini

Kemaskini Terakhir: Khamis, 26 November 2020 - 2:32pm