MENU

OLEH ALIFF HAIKAL

KLANG, 15 NOV: Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kerjasama Persatuan Soka Gakkai Malaysia (SGM) membina Taman Keamanan Ikeda untuk aktiviti riadah masyarakat setempat.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohd Yasid Bidin berkata pihaknya sudah menjalankan kerja landskap, menaik taraf jalan serta sistem perparitan di sekitar taman itu.

“Tujuan taman ini ditubuhkan untuk menyediakan satu tempat yang indah dan tenang bagi membolehkan masyarakat berehat dan menenangkan diri serta melakukan aktiviti riadah pada waktu lapang.

“Kewujudan taman ini diharap dapat menjadi landasan untuk masyarakat memupuk persahabatan dan membina rangkaian kepercayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pra Pelancaran Taman Keamanan Ikeda di Padang Taman Besar Taman Klang Jaya, di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr G. Gunarajah dan Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin.

Taman yang menelan kos RM600,000 melalui peruntukan SGM itu bermula sejak November 2018 dengan keluasan 792 meter persegi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Soka Gakkai Malaysia, Lok Chee Khong berkata idea untuk mendirikan taman berkenaan berasal daripada acara dwitahunan “Run For Peace” untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan keamanan.

Katanya bagi memastikan taman itu kekal terpelihara, pihaknya berhasrat memagar kawasan terbabit bagi tujuan keselamatan dan mengelakkan vandalisme.

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 13 Disember 2019 - 7:18pm