MENU

SHAH ALAM, 10 OKT: Gara-gara menjadikan kediaman sebagai premis perniagaan, sekumpulan warga asing diserbu penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam operasi bersepadu khas, semalam.

Lebih mengejutkan, ada di antara warga asing yang menjadikan rumah teres satu tingkat berkenaan sebagai kedai makan, kedai runcit dan kedai gunting rambut.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, sebanyak lapan kediaman diserbu dalam operasi berkenaan membabitkan lokasi Taman Daya Maju, Jalan Teratai dan Pekan Meru.

Katanya, warga asing berkenaan yang dipercayai tidak mempunyai sebarang dokumen perniagaan sah menjalankan kegiatan berkenaan lebih setahun.

“Kesemua barangan dalam kediaman turut disita ketika operasi terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Norfiza berkata, pihaknya akan memperhebatkan operasi berkenaan dari masa ke masa terutama lokasi tumpuan warga asing.

“Pemilik rumah juga perlu peka dengan kediaman yang disewakan supaya tidak disalahgunakan.

“Malah, MPK juga tidak mengeluarkan lesen kepada warga asing untuk berniaga,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 November 2019 - 11:36am