MENU

KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) memperuntukkan lebih RM300,000 setahun untuk penjagaan kebersihan di tandas awam dalam usaha menangani wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di daerah ini.

Yang Dipertua, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, ia melibatkan kos menyelengggara 120 tandas awam di kawasan majlis seperti di taman awam, pasar, padang permainan serta gerai-gerai majlis.

 "MPK beri sumbangan kos menyelenggara dan penjagaan tandas awam di Klang kira-kira RM30,000 sebulan, jika dikira dalam tempoh setahun MPK belanja lebih RM300,000.

"Itu pun hanya melibatkan kerja-kerja asas dan kita tidak dapat buat sepenuhnya, maknanya kita lantik kontraktor, mereka jaga kebersihan, cuci tandas, sediakan sabun dan sanitizer di dalam tandas terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika program minum petang bersama Majlis Permuafakatan Pengerusi Persatuan-Persatuan Penduduk Bandar Bukit Raja Klang di Dewan Hamzah MPK Klang, di sini,hari ini.

Menurutnya, langkah yang dilakukan MPK itu sebagai usaha membantu Pejabat Kesihatan Daerah Klang dalam menangani wabak berkenaan.

"Peranan itu turut dimainkan majlis  dalam bersama-sama mengawal wabak itu meskipun kes HFMD terletak di bawah bidang tugas pejabat kesihatan daerah Klang.

"Kita mahu bersama-sama membantu mengatasi wabak itu selain menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan," katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta orang awam yang menggunakan tandas agar bersama-sama menjaga kebersihan kemudahan yang disediakan itu.

"Semua yang guna tandas awam khususnya tandas awam yang dibiayai oleh MPK diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan tandas, bukan untuk kebaikan mereka tetapi masyarakat umum keseluruhannya.

"Kita juga akan memperluaskan kempen dan penerangan berkenaan wabak penyakit itu," katanya.

Mohamad Yasid berkata, sehingga kini sejumlah 1,061 kes HFMD dilaporkan di daerah Klang bermula Januari hingga Julai lalu.

"Buat masa ini sembilan sekolah terbabit dalam kes ini antaranya Sekolah Kebangsaan Cina Jenis Pandamaran A, Sekolah Kebangsaan Teluk Pulai, Sekolah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi, Sekolah Kebangsaan Bukit Rimau dan Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang," katanya.