MENU

KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) kini memperkenalkan kaedah meletak kenderaan tanpa kupon (Smart Parking) bagi memudahkan pembayaran tempat letak kereta di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata pengenalan sistem baharu itu selaras saranan kerajaan negeri yang ingin Selangor menjadi negeri pintar (Smart State) terulung di rantau Asia Tenggara menjelang 2025.

"Menerusi aplikasi ini, inovasi 'cashless society' akan membolehkan orang ramai membuat bayaran parkir kereta tanpa membawa tunai, sebaliknya transaksi dilakukan menerusi telefon pintar.

"Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma menerusi Android Play Store dan Apple Apps Store. Ia boleh digunakan mulai 1 Jun ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Aplikasi Smart Parking MPKlang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengguna boleh mendaftarkan beberapa kenderaan serentak dan membayar tanpa perlu berada berdekatan kereta berkenaan.

"Jumlah tambah nilai yang dibenarkan adalah RM10, RM20 dan RM50. Pengguna boleh melakukan transaksi melalui akaun semasa, kad kredit, kad debit atau mengunjungi ejen yang dilantik," katanya.

Mohamad Yasid berkata, MPK menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menggunakan sistem Smart Parking di negeri ini selain Melaka dan Johor.

Katanya, pengenalan sistem bayaran parkir secara elektronik itu juga akan menaikkan jumlah kutipan parkir bagi PBT berkenaan.

"Setakat ini, MPK menguruskan kira-kira 35,000 petak parkir dan tahun lalu, jumlah kutipan parkir ialah RM7.5 juta.

"Kami menjangkakan kutipan akan terus meningkat kerana orang ramai kini lebih mudah untuk membayar parkir tanpa perlu mencari tiket kupon," katanya.