MENU

KLANG, 1 NOV: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan pemantauan terhadap pejabat dan kilang yang dijadikan asrama pekerja asing tanpa kelulusan, di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, tindakan itu bagi mengawal dan memastikan aspek keselamatan serta kebersihan dipatuhi pihak berkaitan.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Tempatan itu melaksanakannya di beberapa lokasi antaranya Indah Point, Jalan Sungai Chandong 9 dan Jalan Sungai Pinang, Pulau Indah, manakala di Klang Utara di Jalan Pelaburan, Klang Sentral serta Aman Perdana.

“Melalui program ini, surat pentadbiran dikeluarkan Jabatan Bangunan kepada pihak majikan dan pemilik bangunan serta sesi taklimat dijalankan berkaitan Garis Panduan Tukarguna Premis kepada Asrama Pekerja.

“Pemantauan juga mendapati tahap kebersihan di kawasan asrama kurang memuaskan terutama dari segi pembuangan sampah dan boleh menyebabkan risiko penyakit bawaan vektor seperti nyamuk Aedes serta tikus juga mencacatkan pemandangan kawasan sekitar.

“Isu berkaitan juga membabitkan penyalahgunaan bangunan dengan premis diduduki adalah pejabat dan kilang selain memberi risiko kebakaran serta memerlukan kelulusan tukar guna daripada MPK dengan pematuhan syarat Jabatan Bomba dan Penyelamat juga Indah Water Konsortium (IWK),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MPK memberi peluang kepada pemilik bangunan dan majikan untuk memajukan permohonan tukar guna bagi kawasan berkenaan dengan tempoh akhir pemutihan antara Disember ini sehingga Mac tahun depan.

Katanya, tindakan lanjut akan diambil MPK antaranya pengeluaran notis salah guna bangunan dan tambahan tanpa kelulusan serta pendakwaan ke mahkamah terhadap premis yang gagal mendapatkan kelulusan selepas tempoh berakhir.

“Langkah ini adalah usaha MPK meningkatkan tahap keselamatan dan kebersihan kawasan pentadbiran serta memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Isnin, 13 November 2017 - 4:21pm