MENU

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 1 NOV: Majlis Perbandaran Klang (MPK) meminta penghuni pangsapuri menjaga kemudahan awam disediakan sebaik-baiknya dan pada masa sama memastikan kawasan kediaman sentiasa bersih.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, langkah itu bagi kepentingan semua penduduk supaya menikmati kehidupan berkualiti dan selesa.

“Penghuni pangsapuri perlu lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan di sekeliling rumah bagi mengelak penyakit berjangkit terutamanya demam denggi.

“Mereka harus mengelak daripada membuang sampah merata-rata kerana persekitaran bersih akan mewujudkan kehidupan berkualiti dan selesa.

“Penduduk harus menghindarkan diri daripada melakukan vandalisme yang akhirnya menyusahkan kehidupan mereka sendiri,” katanya selepas merasmikan Karnival Jom Sihat Bersama Pangsapuri Daerah Klang di Pangsapuri Palma, Bandar Botanik, di sini.

Beliau seterusnya berkata, penjagaan kesihatan khususnya kesedaran terhadap penyakit berisiko termasuk demam denggi perlu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat memandangkan ia mencatatkan peningkatan agak membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Menerusi karnival itu, katanya, warga setempat berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma selain melihat beberapa pameran berkaitan kesihatan disediakan penganjur.

“Pelaksanaan program seperti ini perlu dipertingkatkan kerana masih ramai individu yang tidak sedar mengenai pentingnya melakukan pemeriksaan kesihatan dan amalan gaya hidup sihat.

“Ia adalah satu platform yang mantap untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu berkaitan kesihatan serta membantu masyarakat melalui informasi berkaitan amalan gaya hidup sihat untuk dikongsikan bersama,” katanya.

=EZY=

Kemaskini Terakhir: Isnin, 13 November 2017 - 4:21pm