MENU


Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin menunjukan maklumat aplikasi pengimbas kod QR di Majlis Perbandaran Klang pada 17 JUN 2020.
Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

  

KLANG, 17 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) melancarkan kod QR bagi membolehkan pelanggan menilai pasar malam dan pasar pagi yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Yang dipertuanya, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata aplikasi itu diwujudkan supaya pemantauan lebih rapi dapat dilakukan di setiap pasar yang sudah dibenarkan beroperasi mulai Isnin lalu.

Katanya, selain mengimbas kod QR SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) oleh Kerajaan Selangor, pengunjung juga boleh mengimbas kod QR MPK di pintu masuk utama pasar sekiranya ingin membuat penilaian ke atas pasar yang dikunjungi.

         

“Menerusi aplikasi itu, pengunjung perlu menjawab soalan seperti pematuhan pemakaian pelitup muka, sama ada orang awam membawa kanak-kanak di bawah 13 tahun ke pasar, kebersihan pasar dan penjarakan sosial.

“Penilaian itu akan disemak dua minggu sekali, sekiranya ada pasar yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan, kita akan memberi nasihat atau teguran supaya mereka dapat menambahbaik SOP,” katanya dalam sidang media di ibu pejabatnya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Ahmad Fadzli berkata sehingga kini sebanyak 29 pasar termasuk dua pasar pagi dan 27 pasar malam sudah dibuka.

Pada 11 Jun lalu, Kerajaan Selangor membenarkan operasi pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam dan bazaria secara berperingkat mulai 15 Jun. 

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini