MENU

KLANG, 31 OKT: Penduduk Klang akan lebih mudah membuat bayaran tempat letak kereta apabila Majlis Perbandaran Klang (MPK) melancarkan aplikasi Selangor Smart Parking (SSP) menerusi telefon pintar bermula hari ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, langkah itu diambil bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk menyediakan rakyat Selangor ke arah persekitaran selamat dan berinovasi.

“Pada masa sama sudah tentu aplikasi pembayaran tempat letak kereta menggunakan telefon pintar ini untuk menjadikan penduduk di bawah MPK lebih mudah, efisen dan selamat.

“Ia juga memberi lebih pilihan kepada seluruh rakyat di negeri ini untuk membuat bayaran tempat letak kereta sama ada menerusi kupon atau aplikasi SSP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Aplikasi SSP peringkat MPK, di Dewan Hamzah, di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah.

Mohamad Yasid berkata, pada 2011 bilangan petak letak kereta di kawasan MPK sebanyak 13,432 sebelum meningkat kepada 36,381 petak iaitu pertambahan sebanyak 171 peratus.

Katanya, pada tahun ini hasil kutipan pengurusan tempat letak kereta mencecah RM10 juta ekoran kepadatan penduduk Klang yang mencecah 1.6 juta orang.

“Sementara itu, jumlah kompaun tempat letak kereta yang dikeluarkan meningkat kepada 219,000 sepanjang tahun 2019 dengan kesalahan yang paling banyak tidak mempamer kupon atau kupon tamat tempoh.

“Oleh itu saya berharap supaya aplikasi SSP ini akan membantu urusan penduduk Klang menjadi lebih mudah setiap hari selepas ini,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 November 2019 - 11:36am