MENU

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 26 JAN: Majlis Perbandaran Klang memberi lebih perhatian terhadap kerja pembersihan ekoran peningkatan wabak denggi, di daerah itu mutakhir ini.

Pengarah Kesihatannya, Azmi Muji berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada kontraktor terutama berkaitan kerja pembersihan untuk melipat gandakan usaha membanteras denggi.

“Dalam tempoh dua minggu, kontraktor ini akan melaksanakan kerja daripada segi kutipan sampah dan sapu sampah sarap di persekitaran, pada setiap hari berbanding secara berkala sebelum ini.

“Malah, pemantauan dari semasa ke semasa juga akan dilaksanakan oleh pihak kami bagi memastikan wabak denggi ini dapat dihapuskan,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, salah seorang penduduk Flat Sri Bahtera, Zainal Abidin, 52, berkata, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat.

“Ribuan terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri dan semua jabatan terbabit kerana berusaha membanteras isu denggi.

“Saya mewakili penduduk Flat Sri Bahtera menyambut baik saranan Kerajaan Negeri untuk bekerjasama sesama penduduk dalam membanteras wabak denggi ini daripada terus menular,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 19 September 2019 - 8:46am