MENU

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 29 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) melaksanakan kempen “Grand Discount” bermula 20 Mei sehingga 2 Jun ini, bagi pengurangan kompaun letak kereta serendah RM5.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, tawaran selama 14 hari itu dilaksanakan sempena ulang tahun ke-129 pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Katanya, ia membabitkan tawaran Kompaun Letak Kereta dengan kadar RM5 untuk tempoh dari 2011 sehingga 2015 dan RM15 sehingga RM200 (2016-2019) membabitkan pelbagai kesalahan.

“Kempen ini diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai menjelaskan kompaun mereka terutama yang sudah sekian lama tertunggak.

“Kadar serendah RM5 ini dapat membantu pelanggan yang tidak berkesempatan menjelaskan kompaun mereka sebelum ini, sekali gus dapat diselesaikan mengikut tarikh ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPK Bil 4/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kompaun itu tidak termasuk bagi kesalahan kompaun yang dikeluarkan di bawah Perenggan 51 (Kesalahan meletak kereta di petak khas), Perenggan 36 (2) (e) (Kesalahan OKU) dan Perenggan 36 (1) (a) (Kesalahan tiada seorang pun menghalang atau menyebabkan terhalang mana-mana tempat atau petak letak kereta).

“Oleh itu, orang ramai digesa merebut peluang keemasan ini untuk menjelaskan kompaun mereka sebelum tempoh tawaran tamat pada 2 Jun.

“Semakan juga boleh dilakukan di kaunter tambahan yang disediakan di lobi Ibu Pejabat Majlis dan Pejabat Cawangan MPK Jalan Tengku Kelana,” katanya.

Sementara itu, bayaran pula boleh dibuat di semua kaunter Ibu Pejabat MPK, Pejabat Cawangan MPK Jalan Tengku Kelana, Pejabat Cawangan MPK Jalan Raya Barat, Kompleks Pasar Besar Jalan Meru, Perhentian Bas Pelabuhan Klang, Dewan Meru dan Pekan Kapar.

Selain itu, turut disediakan pembayaran melalui Mesin i-Kiosk (CDM), Pasaraya Giant Bukit Tinggi, Kaunter Van Bergerak MPK dan di pasar raya terpilih mengikut jadual ditetapkan.

Semakan dan bayaran kompaun boleh dilakukan pada hujung minggu Sabtu dan Ahad di kaunter AEON Bukit Raja (25-26 Mei) dan AEON Bukit Tinggi (1-2 Jun), mulai 10.30 pagi sehingga 10 malam.

Untuk makluman, pembayaran kompaun secara dalam talian melalui JomPAY (Biller code: 84277) dan aplikasi Smart Parking MPKlang (Android dan Iphone) juga boleh dilakukan bagi memudahkan orang awam.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 19 September 2019 - 2:50pm