MENU

KLANG, 31 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya mengutip cukai taksiran berjumlah RM181.1 juta sehingga 24 Oktober lalu, berbanding RM171.1 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata jumlah itu meningkat enam peratus dengan perbezaan kutipan RM10 juta.

Katanya, untuk cukai taksiran penggal 1/2019 MPK mengutip RM79.9 juta pada Oktober 2019 berbanding RM77.7 juta pada 2018 dengan perbezaan tiga peratus.

“Cukai taksiran untuk penggal 2/2019 pula, perbezaan RM6.7 juta dicatatkan bagi tempoh Oktober 2019 dengan kutipan RM77.6 juta berbanding RM70.9 juta, pada tahun lalu.

“Sementara itu, kita mencapai 64 peratus sasaran kutipan tunggakan cukai taksiran berjumlah RM23.6 juta sehingga Oktober, meningkat lima peratus berbanding 2018 sebanyak RM22.5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil.10/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, di sini hari ini.

Mohamad Yasid berkata, MPK turut mencatatkan lebihan hasil berbanding perbelanjaan sebanyak RM61.4 juta sehingga 30 September lalu.

Katanya, jumlah hasil itu meningkat RM12.76 juta dengan perbezaan lima peratus berbanding hasil bagi tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah perbelanjaan pula meningkat sebanyak RM2.98 juta iaitu dua peratus berbanding perbelanjaan untuk tempoh sama pada tahun lalu.

“Secara keseluruhan, jumlah hasil berbanding belanja meningkat sebanyak RM9.77 juta atau 19 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 November 2019 - 11:36am