MENU

KLANG, 31 OKT: Sejumlah RM171.8 juta berjaya dikutip Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerusi cukai taksiran bagi tempoh sehingga 25 Oktober lalu.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, kutipan terbabit meningkat sebanyak RM5 juta daripada RM166.8 juta pada kutipan tahun lalu.

Katanya, jumlah keseluruhan kutipan itu membabitkan tiga pecahan iaitu RM77.7 juta (cukai taksiran 1/2018), RM71.2 juta (cukai taksiran 2/2018) dan RM22.9 juta (kutipan cukai taksiran).

“Perbezaan kutipan tahun ini meningkat berbanding tahun lalu iaitu peningkatan RM0.6 juta bagi cukai taksiran 1/2018 dan RM4.7 juta cukai taksiran 2/2018. Manakala, tunggakan kutipan pula menurun tahun ini sebanyak RM0.3 juta.

“Bagi membantu dan memudahkan penduduk setempat menjelaskan bayaran dan pertanyaan, MPK akan mengadakan kempen kaunter van bergerak di Pasaraya NSK Meru pada 24 dan 25 November dan Pangsapuri Sri Proton pada 1 hingga 2 Disember,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan, di Dewan Raja Mahadi, di sini.

Orang ramai boleh mendapatkan bil cukai taksiran di mana-mana kaunter MPK atau melalui laman web www.mpklang.gov.my.

Kemaskini Terakhir: Rabu, 18 September 2019 - 12:33pm