MENU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 10 JULAI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) sedang bekerjasama dengan Sime Darby untuk mendirikan universiti dalam usaha melayakkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dinaik taraf kepada bandar raya.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, usaha itu dijalankan secara berfasa selaras sasaran untuk menjadikan Klang sebagai daerah maju pada 2035.

“Ketika ini kutipan hasil kita berjumlah RM250 juta setahun. Jadi, kita menjalankan kemampuan yang ada mengikut hasil berdasarkan kepada pendapatan itu.

“Untuk menaik taraf kepada bandar raya, MPK memang layak cuma kita kekurangan universiti, justeru kita sedang berusaha ke arah itu, bagi merealisasikan hasrat berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penghargaan kepada PBT atas pencapaian cemerlang dalam Sistem Penarafan Bintang (SPB)-PBT, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).s

Mengulas penganugerahan SPB lima bintang kepada PBT itu, Mohamad Yasid berkata, pihaknya sedang mencari formula bagi menangani isu berbangkit antaranya kilang haram, sampah dan vandalisme untuk membolehkan MPK kekal cemerlang.

Beliau juga tidak menolak isu berkenaan menjadi salah satu cabaran kepada MPK untuk mengekalkan SPB lima bintang bagi tahun kedua berturut-turut.

“Bagaimanapun, penerimaan ini membuktikan bahawa MPK berjaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan pemegang taruh.

“Terima kasih kepada kakitangan dan semua pihak yang memberikan komitmen tinggi serta berjaya mengekalkannya untuk tahun ke dua.

“Saya berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.