MENU

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 8 MAC: Majlis Perbandaran Klang (MPK) komited memerangi gejala rasuah sekali gus berjaya mengekalkan integriti dalam kalangan kakitangannya.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohd Yasid Bidin berkata, sejak melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dua tahun lalu, tiada lagi kes membabitkan rasuah berlaku dalam kalangan kakitangannya.

“Setakat IBR dilaksanakan pada 2016 sudah tiada kes rasuah berlaku cuma hanya satu kes membabitkan tohmahan dan belum mempunyai keputusan sama ada betul atau tidak.

“Berdasarkan tempoh dua tahun, kita lihat belum ada yang dijatuhkan hukuman atau dipenjara, namun siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) itu tetap dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Program Semarak Kasih Penghargaan Ahli Majlis dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di Dewan Hamzah, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Alias Salim; Orang Besar Daerah Klang, Dato’ Abdul Ghani Pateh Akhir; dan Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Pada majlis sama turut diadakan bacaan IBR membabitkan 24 Ahli Majlis MPK serta 21 PeBT sambil disaksikan Mohd Yasid, Alias Salim dan Abdul Ghani.

Sementara itu, Mohd Yasid berkata, bacaan IBR itu adalah julung kali diadakan memandangkan ia adalah yang pertama membabitkan PeBT.

“Ini adalah inisiatif MPK supaya setiap individu menandatangani IBR lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipikul.

“Selain itu, saya optimis anda semua dapat menjauhkan diri daripada sebarang salah laku perlakuan rasuah selama memegang jawatan ini,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 19 September 2019 - 2:50pm