MENU

KLANG, 23 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) muncul juara Kejohanan Sukan Kerajaan Tempatan Malaysia, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KSKTM KPKT) 2017 di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Dalam 10 acara dipertandingkan, MPK cemerlang dengan meraih juara, naib juara dan ketiga dalam lima acara antaranya karom, bola jaring, badminton, tenpin boling dan ping pong.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin melahirkan rasa gembira dengan pencapaian diraih atlet MPK dalam semua acara terbabit.

“Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan terbesar, pengurusan MPK sentiasa memberi perhatian kepada aspek sukan memandangkan kita bukan hanya terbabit dalam KSKTM KPKT, malah dalam Sukan Badan Berkanun dan beberapa pertandingan lain.

“Namun, kejuaraan dicapai adalah sesuatu amat membanggakan apabila melihat peningkatan mendadak prestasi atlet dan ia bagaikan isyarat awal untuk kita mengekalkan rentak kejuaraan, pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar di Dewan Jubli Perak, Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.

KSKTM KPKT dianjurkan KPKT, MALA dan ANULAE bersama Majlis Perbandaran Kuantan selaku tuan rumah, berlangsung pada 29 September hingga 2 Oktober lalu.

Kemaskini Terakhir: Isnin, 13 November 2017 - 4:21pm