MENU

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 19 JAN: Peningkatan mendadak kes denggi di daerah Klang kini menjadi fokus utama Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam menangani isu berkenaan.

Yang Di Pertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, jumlah terkini kes itu sebanyak 1,266 untuk minggu kedua berbanding 540 pada tahun lalu menunjukkan ia pada paras membimbangkan.

Beliau berkata, MPK akan menggandakan lagi operasi bersama membabitkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Daerah Klang selain penguatkuasaan di premis yang dikenalpasti.

“Sebanyak 110 kes tanah kosong, 170 (rumah kosong) dan 181 notis telah dikeluarkan pada tahun lalu dan elemen itu salah satu penyumbang kepada kes denggi.

“MPK juga memperhebatkan lagi operasi penguatkuasaan di premis dikenalpasti dan pemilik akan berdepan tindakan tegas jika didapati lokasi mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama PKD Daerah Klang pada Hari Bertemu Pelanggan YDP MPK, di sini.

Yasid berkata, usaha itu tidak akan mampu dilaksanakan jika masyarakat tidak memainkan peranan membasmi Aedes.

“Kempen 10 minit membersihkan rumah dilancarkan sejak April tahun lalu dilihat tidak mendapat sambutan penduduk kerana ada antara mereka masih menyimpan barangan lama sehingga menjadi punca takungan air.

“Malah, botol plastik serta polisterin juga dibuang merata tempat, sekali gus boleh mengundang pembiakan nyamuk Aedes.

“Oleh itu, kita amat berharap tahun ini, penduduk dapat bekerjasama mengamalkan amalan 10 minit itu supaya usaha membendung wabak denggi di Klang tercapai,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Selasa, 19 November 2019 - 5:00pm