MENU

 

KLANG - Arkib Negara Malaysia dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menandatangani Nota Kerjasama perkongsian khidmat nasihat membabitkan maklumat sejarah dan rekod bahan berkaitan daerah ini.

Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajudin berkata, kerjasama strategik itu merupakan salah satu usaha bagi menaik taraf daerah itu sebagai Bandar Warisan Diraja.

Beliau berkata, Arkib Negara Malaysia menyimpan pelbagai rekod dan khazanah sejarah berkaitan Klang yang kaya dengan nilai tersendiri peninggalan sejarah.

"MPK memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Arkib Negara Malaysia yang menyimpan pelbagai rekod mengenai Klang supaya dapat memanfaatkan peristiwa itu untuk pembangunan daerah ini," katanya selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama itu yang berlangsung di Dewan Hamzah, pada Khamis.

Nota Kerjasama itu ditandatangani Ahmad Fadzli bersama Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Azemi Abdul Aziz.

Dalam usaha bagi mencalonkan Klang sebagai tapak warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Ahmad Fadzli berkata, MPK turut melantik seorang pakar rujuk dan penyelidikan sebagai kurator pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Pelantikan beliau sebagai kurator MPK tepat pada masanya bagi memartabatkan sejarah dan warisan di daerah ini," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fadzli berkata, pihaknya berharap kerjasama itu dapat memartabatkan sejarah Klang khususnya dalam kalangan generasi muda.

Tambah beliau, kerjasama strategik itu juga diharap dapat membantu memartabatkan nilai khazanah di daerah berkenaan.

"Ini sejajar dengan perancangan MPK untuk merealisasikan impian bagi menaik taraf Klang sebagai Bandar Warisan Diraja," katanya.

Sumber : Sinar Harian
Sila klik pautan di sini

 

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 9 April 2021 - 4:24pm