MENU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MEI: Selangor mensasarkan untuk menjadi tiga hab aeroangkasa terbaik dunia dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Selangor terus menjalinkan kerjasama erat dengan pemain industri antarabangsa bagi merealisasikan hasrat itu.

Katanya, industri aeroangkasa memberikan impak langsung kepada peningkatkan nilai FDI sekaligus menjangkakan pertumbuhan pesat kepada pembangunan ekonomi negeri, penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Ia juga memberikan kesan langsung kepada perkembangan teknologi dan anjakan paradigma dalam bidang pendidikan.

“Saya percaya ia adalah amat penting untuk kita menyertai pelbagai misi pelaburan dengan membuat beberapa perubahan. Pada 2016, kita melebihi sasaran pelaburan negara kita sebanyak 30 peratus iaitu sebanyak RM7.9 bilion kepada Selangor.

aero angkasa

“Industri aeroangkasa adalah industri tertinggi, yang ditakrifkan sebagai rumit. Ia menetapkan standard tertinggi dalam kualiti dan ketepatan. Ia juga menjadi penanda aras modal insan yang menuntut rasa kebertanggungjawaban dan ketelusan,” katanya yang menyertai misi pelaburan ke Brussels baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, Mohamed Azmin bertemu dengan pemain industri utama dari Eropah dalam bidang aeroangkasa dan industri halal.

Misi terbabit dimulakan dengan perbincangan meja bulat mengenai pasaran halal dengan kerjasama Fevia dan Wagralim.

“Selangor menyediakan pintu masuk yang sesuai untuk merapatkan Market Halal di Eropah,” katanya.

Terdahulu, bersandarkan kluster aeroangkasa yang semakin berkembang di Selangor, Kerajaan Negeri kini menggalakkan penggiat aeroangkasa antarabangsa meneroka ekosistem sedia adanya untuk peluasan lanjut.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari berkata pembangunan akan datang akan didorong oleh ekosistem padu yang sudah tersedia untuk dimanfaatkan oleh penggiat aeroangkasa.

Pembangunan itu termasuk taman pengeluaran logam aeroangkasa di Serendah dan Subang, Subang Nexus serta Sepang, yang dikenali sebagai Aeropolis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Industri aeroangkasa di Malaysia mencatat pendapatan berjumlah RM11.8 bilion pada 2014 dan diunjur sebanyak RM12.6 bilion pada 2015.

Selangor turut menjangkakan sejumlah RM750 juta dapat dijana menerusi industri aeroangkasa sebaik kilang di Serendah siap sepenuhnya.

 

Sumber: Selangorkini

Kemaskini Terakhir: Selasa, 12 Disember 2017 - 9:13am