MENU

KLANG, 31 OKT: Pengguna aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) yang berdaftar kini mencecah 348,859 orang dengan bilangan transaksi lebih sejuta, kata Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru berkata jumlah memberangsangkan itu jelas menunjukkan rakyat Selangor menerima dan memberi sokongan padu ke arah agenda Negeri Pintar menjelang 2025.

“Sebagai langkah menggalakkan penggunaan aplikasi SSP, Kerajaan Negeri menawarkan kredit tambahan RM1 bagi setiap tambah nilai RM50.

“la akan dikreditkan terus ke dalam akaun SSP masing-masing dan boleh digunapakai serta-merta,” katanya pada Majlis Pelancaran Aplikasi SSP peringkat Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Dewan Hamzah, di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah.

Sze Han berkata, sehingga kini aplikasi berkenaan sudah digunakan di sembilan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya, Kajang, Selayang, Ampang Jaya, Sepang, Kuala Selangor dan Klang.

“Pelaksanaan inisiatif sebegini akan mencerminkan kewujudan ciri-ciri utama yang perlu dimiliki sebuah Negeri Pintar.

“Ia juga bagi memastikan tahap perkhidmatan kerajaan kepada rakyat menjadi lebih cekap dan saksama, sama ada untuk penduduk bandar ataupun luar bandar,” katanya.

SSP adalah sistem pembayaran parkir berintegrasi melalui aplikasi telefon pintar di seluruh kawasan PBT yang terlibat.

Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Store.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 November 2019 - 11:36am