MENU

KLANG, 10 SEPT: Sebanyak 38,594,302 penumpang Bas Smart Selangor direkodkan bagi tempoh 1 Julai 2015 sehingga 31 Julai lalu, kata Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu berkata, perkhidmatan percuma di 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu membabitkan kos keseluruhan bernilai RM78.6 juta yang diperuntukkan Kerajaan Negeri.

“Perkhidmatan ini sering menjadi perhatian bukan sahaja dalam kalangan rakyat di Selangor, malahan menjadi tarikan dan contoh kepada negeri lain untuk turut menyediakan perkhidmatan seumpama ini.

“Bagaimanapun, kemudahan disediakan harus mengekalkan kualiti perkhidmatan yang baik dan berterusan untuk menjamin keselesaan serta kesejahteraan masyarakat dengan kemudahan sistem pengangkutan awam lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor Laluan KLG3 & KLG4, di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang (MPK), di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin; Pemangku Setiausaha MPK, Mohd Khairi Md Yusof dan beberapa Ahli Dewan Negeri.

Pada masa sama, Sze Han berkata, sehingga kini sebanyak 5,219,564 penumpang Bas Smart Selangor dicatatkan di MPK meliputi laluan KLG 1 dan KLG 2 dengan setiap laluan mempunyai empat bas yang beroperasi membabitkan peruntukan RM8,188,218.

Beliau turut menyifatkan kejayaan pelancaran Bas Smart Selangor MPK adalah hasil kerjasama diberikan semua pihak yang terbabit.

“Saya berharap MPK terus membuat pemantauan secara berkala terhadap operasi Bas Smart Selangor daripada segi jadual dan perjalanan bas bagi memastikan servis yang disediakan adalah terbaik.

“Kerajaan Negeri berpendirian positif dalam melaksanakan program Bas Smart Selangor ini yang berkonsepkan mesra rakyat di samping integrasi dengan jaringan pengangkutan awam yang lain,” katanya.