MENU

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 11 NOV: Selangor mencatatkan penurunan wabak denggi sebanyak 15 peratus dengan 35,173 kes direkodkan setakat ini, berbanding 41,342 kes bagi tempoh sama, pada 2017.

Bagaimanapun, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, trend penularan kes denggi diramal akan terus meningkat, pada akhir Disember ini dan berterusan hingga Januari tahun hadapan.

Katanya, ia ekoran faktor cuaca tidak menentu serta peningkatan pergerakan orang awam.

“Sebanyak 13 lokaliti hotspot wabak denggi dalam tempoh lebih 100 hari disenaraikan masing-masing di daerah Gombak (Taman Selaseh Fasa 2) dan Hulu Langat (Seksyen 3, Bandar Teknologi; Jalan Nirwana 1-17, Taman Nirwana dan Jalan Pintar Taman Universiti Kajang).

“Bagi daerah Klang pula (Jalan Setia 2 Kampung Batu Belah; Jalan Istimewa Seksyen 31; Apartment Seri Nervilla dan Seksyen 32 Bukit Rimau Jalan Sungai Burung), manakala Petaling (KD PJU 1A PPRT C, Seksyen 7, Kuarters Klinik Kesihatan; Bandar Kinrara 3, Jalan 3; SS 17/3 dan Seksyen 13, Teres E: Jalan 13/77-13/78J),” katanya.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Majlis Gotong Royong Mega 2.0 Perangi AEDES Peringkat Selangor, di Taman Johan Setia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Selangor, Dr Khalid Ibrahim dan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Zawawi Mughni.

Aktiviti gotong-royong yang dijalankan secara serentak di seluruh negara hari ini membabitkan kerjasama bersepadu pihak kementerian dan agensi lain termasuk pelajar serta orang awam, bagi membendung peningkatan kes denggi.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, rakyat Selangor digesa supaya mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelakkan situasi parah berlaku, terutama mereka yang berada di lokasi hotspot wabak denggi.

“Saya mencadangkan kita semua dapat mengambil pendekatan misalnya semburan aerosol bagi membunuh nyamuk aedes di kawasan rumah dan memakai krim perlindungan nyamuk (insect repellant) bagi mengelakkan gigitan nyamuk, terutama kepada anak kecil.

“Selain itu, boleh juga letakkan ubat jentik-jentik (abate) ke dalam bekas takungan air di sekitar rumah seperti pasu bunga,” katanya.

 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 19 September 2019 - 2:50pm