MENU


MPK menunda sebuah kereta kerana menghalang laluan. Foto MPK

KLANG, 11 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menunda sebuah kenderaan gara-gara menghalang lalu lintas di Kawasan Perniagaan Jalan Kasawari 8, Taman Eng Ann di sini semalam.

MPK dalam kenyataan memaklumkan kenderaan tersebut ditunda semasa rondaan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penguatkuasaan pelesenan premis perniagaan sekitar daerah berkenaan.

“Kita mendapati ada sebuah lori milik KDEB Waste Management (KDEBWM) yang tidak dapat membuat kerja pembersihan di lorong belakang premis perniagaan kerana terdapat sebuah kereta menghalang jalan masuk lori itu.

“Tindakan menunda kenderan ini mengikut kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Taman MPK 2007,” menurut kenyataan di Facebook hari ini.

Rondaan bermula kira-kira jam 10.45 pagi diketuai Timbalan Yang Dipertua MPK Elya Marini Darmin bagi memastikan setiap premis di daerah itu mematuhi syarat ditetapkan selain membantu membasmi wabak Covid-19 di lokasi tersebut.

MPK turut memberi peringatan kepada warga Klang supaya tidak mementingkan diri sendiri dengan meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga menghalang pekerja pembersihan melakukan tugas.

Sumber : SelangorKini