MENU

OLEH ALIFF HAIKAL

KLANG, 5 NOV: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) mengumpul dan membersihkan sampah seberat 51 tan metrik yang dibuang di tapak pelupusan haram di bawah Jambatan Taman Kem, Jalan Jeti, di sini, hari ini.

Ketua Perhubungan Awam dan Media KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, pemeriksaan di kawasan tersebut mendapati pelbagai jenis sampah iaitu sisa domestik dan bahan binaan dibuang di situ.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab ini seharusnya melupuskan sampah di tapak pelupusan sampah yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Kawasan ini pernah dibersihkan beberapa bulan lalu namun dicemari kembali oleh pihak atau individu yang sukar untuk dikenal pasti,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada sesi pembersihan sampah di tapak pelupusan haram di kawasan Jambatan Taman Kem.

Katanya, tinjauan di kawasan itu sangat `menyedihkan’ kerana bukan sahaja kotor tetapi berbau busuk.

“Dianggarkan tapak pelupusan sampah itu aktif semula kira-kira tiga bulan lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahfuzah berkata, proses pembersihan hari ini melibatkan sebanyak 15 buah lori sampah daripada KDEBWM dan dua lori sampah daripada MPK.

“KDEBWM dengan kerjasama MPK melakukan kerja-kerja pembersihan selepas menerima aduan dan maklumat daripada Jabatan Kerja Raya serta orang awam mengenai kewujudan tapak pelupusan sampah haram itu,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 November 2019 - 11:36am