MENU

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KLANG, 30 MAC: Karnival Wellness, Welfare, Women (3W) anjuran Kerajaan Negeri kali ini mengangkat tiga tema utama daripada setiap aspek berkenaan, kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya, di bawah aspek wanita, tema merayakan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu diangkat, dengan memfokuskan isu pencegahan keganasan dan jenayah terhadap golongan berkenaan.

“Untuk aspek kebajikan pula, tema Hari Sindrom Down Sedunia pada 21 Mac lalu diketengahkan pada karnival itu bagi melahirkan rasa empati dalam masyarakat kepada anak-anak istimewa.

“Untuk kesihatan, tema kita Hari Buah Pinggang yang disambut di peringkat antarabangsa, pada 14 Mac lalu. Kita sedar bahawa penyakit buah pinggang semakin meningkat dalam masyarakat,” kata
EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga itu.

Beliau ditemui media pada Karnival 3W di Kompleks Sukan Pandamaran Klang, di sini, hari ini.

Karnival yang bermula 8.30 pagi itu diselitkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti 10,000 langkah sihat, demonstrasi makanan sihat, taklimat kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma dan persembahan daripada anak-anak istimewa.

Program sebelah malam pula akan menampilkan slot bual bicara dan persembahan hiburan oleh selebriti tanah air.