MENU

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 28 JUN: Kajian Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) Penggantian 2035 bakal dilaksanakan ke arah menjadikan perbandaran Klang lebih efektif, selaras keperluan permodenisasi negeri.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, ia memfokuskan hala tuju penyediaan dasar yang dilaksanakan menerusi penganjuran bengkel membabitkan penyertaan agensi tertentu.

“Pelaksanaannya dibuat untuk mendapatkan pandangan dan input daripada peserta berkenaan halatuju, strategi pembagunan dan corak pembangunan Klang yang dibentuk untuk Kajian Rancangan Tempatan 2035.

“Bengkel ini diselaraskan oleh tetuan perunding kajian rancangan tempatan iaitu Rekarancang Sdn Bhd dengan kerjasama Plan Malaysia Semenanjung Malaysia, Plan Malaysia Selangor dan MPK sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK, Bilngan 6/2017 di Bilik Mesyuarat Raja Mahadi, Bangunan MPK, pagi ini.

Hadir sama Orang Besar Daerah Klang, Dato’ Setia Diraja Dato’ Abdul Ghani Pateh Akhir san Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Terdahulu, MPK giat melaksanakan pelan perancangan holistik ke arah menjadikan pihak berkuasa tempatan itu sebagai sebuah perbandaran bertaraf antarabangsa menjelang 2020.

Mohamad Yasid berkata, tumpuannya kini terarah kepada prinsip dan akauntabiliti bebas rasuah anggotanya.

“Visi MPK sebagai perbandaran bertaraf antarabangsa yang lestari dengan perancangan holisitik menjelang 2020 lebih menuntut nilai integriti diri yang tinggi dalam merealisasikannya.

“Tanpa integriti dalam pentadbiran ini, kita pasti bukan sahaja hanyut, malah akan gagal untuk mentadbir perbandaran Klang ini dengan lebih telus dan efisien,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 21 September 2018 - 4:17pm