MENU


Gimik perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud (tiga dari kanan) di Karnival 3W (Wellness, Welfare dan Women) bertempat di Taman Rakyat Sri Andalas, Klang pada 29 Februari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI.

KLANG, 29 FEB: Karnival 3W (Kesihatan, Kebajikan, Wanita) membuka tirai jelajahnya pada tahun ini dengan tema Hari Barah Sedunia dan Kesedaran Pusat Jagaan Berdaftar Bagi Kanak-kanak di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas di sini.

EXCO Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud berkata pada tahun ini beberapa penambahbaikan dalam Karnival 3W iaitu program pelepasan kayuhan santai, senaman warga emas dan bual bicara santai daripada beberapa moderator berpengalaman.

“Selain itu, kita juga tidak lagi membuat cabutan bertuah tetapi ia digantikan dengan program lebih menjurus kepada keilmuan iaitu sesi soal jawab bersesuaian dengan tema hari terbabit. Siapa jawab soalan maka dapatlah hadiah,” katanya selepas merasmikan Karnival 3W (Kesihatan, Kebajikan, Wanita) di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Norasyikin Md Salleh, 32, berkata dia memuji Kerajaan Negeri dalam menyediakan karnival yang memanfaatkan rakyat dan sesuai untuk seisi keluarga.

“Saya tahu karnival ini menerusi perkongsian daripada rakan-rakan di kumpulan WhatsApp, walaupun cuaca agak panas hari ini tetapi ia tidak menghalang saya untuk bawa keluarga ke sini. Selain boleh buat saringan awal barah, anak-anak juga dapat menyertai aktiviti menarik seperti mewarna,” katanya.

Farah Farhana Abd Kadir, 42, berkata selepas berkunjung ke beberapa gerai maklumat berkaitan barah, dia mempunyai kesedaran untuk lakukan saringan awal dan bercadang mahu membuat pemeriksaan mamogram dalam masa terdekat ini.

Sependapat juga dengan J Sharmawaty, 35, berkata dia akan uar-uarkan kepada keluarga dan kenalan berkenaan pentingnya saringan awal barah dan wanita jangan takut untuk membuat pemeriksaan.

Sumber : SelangorKini