MENU

SHAH ALAM, 8 JAN: Penggunaan mesin inovasi ciptaan NGO Belanda Ocean Clean Up, Interceptor menyumbang kepada proses pembersihan Sungai Klang yang lebih efektif.

Pengurus Projek dan Teknikal Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Mohd Syukri Shaharuddin berkata rekod pihaknya mendapati, 35 tan metrik sampah dan sisa pepejal berjaya dikumpul dalam tempoh sebulan.

Sampah yang dikutip menggunakan Interceptor.

Kata Mohd Syukri mesin inovasi ciptaan NGO Belanda Ocean Clean Up melengkapkan sistem pembersihan sedia ada di tujuh penghadang (log boom) yang dibina sepanjang sungai terbabit.

“Sejak Interceptor diletakkan, orang ramai mulai sedar tentang kepentingan penjagaan sungai, terutama dengan lokasinya yang strategik kerana terletak berhadapan Masjid Diraja, Klang.

“Malah, banyak perubahan dapat dilihat di sungai ini selepas pembersihan dilakukan secara berterusan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Fasa pertama projek SMG dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari Oktober lalu dan fasa seterusnya termasuk pemulihan dan pembaikan urban (urban rejuvenation).

Projek itu dijangka selesai pada suku kedua tahun depan.

Untuk fasa kedua, sebuah pusat pelupusan sampah yang sudah tidak beroperasi iaitu Telok Kapas akan dibaik pulih dan akan digunakan untuk projek masyarakat.

Dalam fasa pembaikan urban pula, Taman Awam Pengkalan Batu akan dibangunkan menjadi taman permainan awam. Sebuah taman paya bakau juga akan dibangunkan untuk tujuan ekopelancongan.

Projek itu antara lain membabitkan pembangunan rangkaian teksi sungai di Sungai Klang.

Sumber : https://selangorkini.my/2020/01/penggunaan-interceptor-lebih-efektif-bersihkan-sungai-klang/