MENU

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 JULAI: Bakal jemaah haji Selangor kini boleh memohon Insentif Haji Muassasah, bermula 13 Julai hingga 9 Oktober ini.

Ketua Pegawai Korporat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Ahmad Ashraf Asnan melalui surat bertarikh 4 Julai memaklumkan, Kerajaan Selangor dan MBI sudah memanjangkan makluman program itu kepada pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tujuan pelaksanaan.

“Antara syarat kelayakan bagi insentif ini ialah pemohon mesti ditawarkan menunaikan haji dari Lembaga Tabung Haji Selangor untuk mengerjakan Haji Muassasah bagi tahun 1439H.

“Terdapat dua cara permohonan iaitu melalui pejabat DUN masing-masing ataupun terus ke MBI, sementara bagi jemaah haji yang mengikuti pakej haji swasta tidak layak menerima insentif berkenaan,” katanya.

Kaunter penerima permohonan MBI akan dibuka di surau Al-Husna, Aras LG, Bangunan Darul Ehsan, Jalan Indah, Seksyen 14, 40000 Shah Alam.

Pemohon perlu mengemukakan dokumen termasuk salinan kad pengenalan dan salinan surat tawaran mengerjakan Haji Muassasah oleh Lembaga Tabung Haji Selangor bagi tahun 1439H.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.25 juta buat 6,500 jemaah Selangor melalui Program Imarah Muassasah Haji.

Mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, program itu kesinambungan terhadap insentif RM500 yang disalurkan kepada jemaah haji muassasah yang menunaikan rukun Islam kelima.