MENU

KLANG, 26 OKT : Gara-gara mendapan, Flat Taman Teluk Gadung di sini mengalami keretakan teruk sehingga menyebabkan bahagian bawah bangunannya berlompong.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, selain bimbang aspek keselamatan, lompong itu juga dikhuatiri punca berlakunya peningkatan kes denggi di situ.

Katanya, ini kerana Mesyuarat Tindakan Negeri mendapati Flat Taman Teluk Gedung Indah antara lokasi hotspot demam denggi.

“Sejak September hingga Ogos tahun ini, sudah ada 90 kes demam denggi bagi kawasan ini sahaja, dan saya tidak menolak kemungkinan masalah infrastruktur antara punca ia berlaku.

“Selain lompong di bahagian bawah rumah, kita turut mendapati bahagian bumbung bangunan flat disini rosak teruk dengan semuanya sudah diterbangkan angin.

“Ia sekali gus menyebabkan bahagian atas flat menjadi tempat bertakung air hujan, sekali gus menjadi tempat pembiakan denggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan mengejut ke Flat Taman Teluk Gedung Indah bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri serta agensi-agensi kerajaan, semalam.

Mariah berkata, pencegahan kes denggi di situ tidak dapat diselesaikan sehingga semua masalah infrastrutur dibaikpulih.

“Oleh itu melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) kita akan bawa semua jabatan yang terlibat termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia bagi melihat struktur mendapan tanah ini.

“Saya jangkakan pembaikpulihan akan mencecah jutaan ringgit walaupun nilai flat ini sudah berkurangan, namun yang penting kita mahu masalah denggi diselesaikan dan penduduk dapat hidup dengan selesa,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Rabu, 18 September 2019 - 12:33pm